Terbaru, Polis Diraja Malaysia(PDRM) mengeluarkan arahan kepada semua kontinjen negeri melarang penceramah terkenal, Dr Zakir Naik, menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Dalam notis tersebut, arahan dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor dan perkara itu disahkan Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad, sambil menyatakan tindakan berkenaan diambil demi keselamatan negara.

“Arahan itu dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” ujarnya.

Sebelum ini, tujuh negeri telah melarang pendakwah itu memberi ceramah termasuk Melaka, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Sarawak.

Terdahulu, Zakir selesai memberi keterangan kali kedua kepada polis selepas hampir 10 jam menjalani proses itu di Bukit Aman.

Difahamkan, dia dipanggil ke Bukit Aman berkaitan dengan ceramahnya yang dikatakan berbaur perkauman di Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.

Minggu lalu, Zakir memberi keterangan kali pertama selama lima jam di Bukit Aman bagi membantu siasatan berhubung perkara tersebut.

3 Ogos lalu, dia dalam ceramahnya di Kota Bharu dilaporkan membuat kenyataan kontroversi mengenai penganut Hindu dan kaum Cina di negara ini.

Sumber: Harian Metro