Pemain dram kumpulan rock terkenal iaitu Search, Yazit Ahmad, 55 tahun, baru saja menghembuskan nafas yang terakhir selepas menderita akibat kerosakan otak.

Allahyarham disahkan meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi(ICU) Wad Urologi dan Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur kira-kira pukul 11.55 pagi tadi.

Difahamkan, rakan-rakan rapat allahyarham juga mengesahkan doktor telah mengambil keputusan mencabut mesin bantuan hayat pada pukul 8.35 pagi Khamis lepas.

Penderitaan yang dihadapi Allahyarham itu juga mendapat perhatian Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memuatnaik berita menyedihkan itu sebentar tadi.

Pada 12 Mei lalu, Ahli Parlimen Port Dickson itu mengunjungi Yazit di kediamannya dan menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban yang ditanggung pemuzik itu.

Sebelum ini, Yazit telah dimasukkan ke HKL akibat jangkitan paru-paru selepas disahkan menghidap penyakit buah pinggang sejak beberapa tahun lalu.

Untuk pengetahuan anda, allahyarham disembahyangkan di Masjid Salahuddin Al-Ayyubi di Taman Melati, Gombak, dan dikebumikan sebelum solat Zuhur tadi.

Takziah diucapkan kepada keluarga allahyarham. Semoga rohnya berada dalam kalangan orang beriman. Al Fatihah.

Sumber: Astro Awani