Minggu lepas, negara ini dikejutkan dengan berita seorang kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang(MBPP) Mohaidin Gani Mohamad, 58 tahun, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh Honda Accord yang dipandu oleh wanita warganegara China.

bharian.com.my

Wanita warga China, Liu Shasha, 24 tahun, hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Georgetown di atas pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal maut di Jalan Datuk Keramat, Georgetown, Pulau Pinang.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Rosnee Mohd Radzuan.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu kereta dibawah pengaruh alkohol atau dadah menyebabkan dia tidak berdaya mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal itu yang juga seorang pekerja Majlis Bandaraya Pulau Pinang(MBPP) di Jalan Datuk Keramat pukul 6.25 pagi pada 25 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Bagi kesalahan tersebut, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun. Seksyen itu juga memperuntukkan denda tidak kurang RM8,000 hingga RM20,000.

Difahamkan, Rosnee tidak membenarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh dan menetapkan 8 November depan sebagai tarikh sebutan semula untuk pengesahan ketulenan pasportnya daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nabila Huda Muhammad Nazim, manakala tertuduh diwakili peguam A. Ashok.

Selain itu, seorang lelaki yang juga pemilik kereta berkenaan turut dihadapkan ke mahkamah sama atas kesalahan membenarkan kenderaan itu dipandu Liu.

Tertuduh, Garrett Lim Nian Siang, 23 tahun, yang juga seorang tukang masak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Rosnee.

Rosnee kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,500 terhadap tertuduh yang ketika kejadian turut berada di tempat penumpang hadapan.

Garrett yang juga rakan Liu didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 26 APJ 1987 pada waktu dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM300 dan tidak lebih RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Sumber: Astro Awani