Seorang wanita di Pakistan menyediakan makanan percuma kepada golongan kurang berkemampuan setiap hari walaupun dunia kini dilanda wabak berbahaya Covid19.

Rukhsana Izhar, 58 tahun, amat prihatin terhadap golongan yang memerlukan dan kerana itu dia masih meneruskan aktiviti amal yang dilakukannya sejak 30 tahun lalu.

“Tiada siapa tidur dalam kelaparan. Makanan tersedia 24 jam,” tulis nota di pintu kediamannya di Bandar Johar, Pakistan.

Menurut Gulf News, Rukhsana menyatakan bahawa rakan dan anaknya meminta kerja amal itu ditangguhkan sebentar sehingga wabak berakhir, namun dia mahu meneruskan aktiviti itu seperti sedia kala.

“Koronavirus memberi kesan yang tidak boleh digambarkan kepada kehidupan orang miskin,” ujarnya.

“Ratusan pengawal keselamatan, jurujual, pembantu dan pekerja miskin yang bekerja di bilik pameran, pasar raya, pusat perniagaan, bank dan pejabat swasta semua hilang kerja,” jelasnya.

“Tiada siapa beri mereka atau keluarga mereka makan,” sambungnya lagi yang menyediakan sebanyak lebih 500 bungkus makanan percuma setiap hari tanpa bantuan kerajaan.

“Saya fikir apa yang mereka buat jika kami hentikan khidmat percuma ini di saat mereka sangat memerlukannya,” katanya.

Difahamkan Rukhsana turut mengamalkan langkah pencegahan termasuk menjaga jarak sosial dengan mereka yang mengambil makanan di depan rumahnya.

Sumber: Harian Metro