Seorang wanita sarat mengandung dilaporkan berada dalam keadaan kritikal apabila ambulans dinaikinya terlibat dalam kemalangan semasa dalam perjalanan ke hospital.

Mangsa berusia 40-an itu dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Umum Sarawak (HUS), kerana mengalami trauma di kepala impak perlanggaran berkenaan.

Difahamkan, ambulans dinaiki mangsa dilanggar sebuah kenderaan pacuan empat roda di persimpangan lampu isyarat Jalan Green, Kuching, Sarawak, pukul 9.40 pagi semalam.

“Kita meletakkan pesakit itu di ICU untuk dipantau dari semasa ke semasa, terutama membabitkan bayi dalam kandungannya. Pesakit juga mengalami kecederaan di kepala dan kita sedang memantau rapi keadaannya,” ujar sumber Hospital Umum Sarawak(HUS).

Menurut pemandu ambulans berkenaan, kenderaan yang dibawanya baru melepasi Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce dan siren kecemasan juga telah dipasang.

msn.com

“Akibat rempuhan kenderaan pacuan empat roda dipandu seorang lelaki warga emas itu, ambulans gagal dikawal lalu melanggar pembahagi jalan berdekatan lampu isyarat,” ujarnya.

“Perlanggaran itu menyebabkan ambulans remuk di bahagian pemandu, termasuk cermin pecah, manakala dua jururawat cedera ringan dan trauma kerana kejadian berlaku cukup pantas,” sambungnya.

Berikutan itu, pemandu pacuan empat roda tersebut keluar dari kenderaan dan meminta maaf berulang kali kepada mereka dan membuat laporan di Balai Polis Simpang Tiga.

Terdahulu, pemandu berkenaan dikatakan cuba mengejar lampu hijau sebelum melanggar ambulans membawa wanita sarat mengandung itu.

Sumber: Berita Harian