Gangguan mental seperti kemurungan, depresi dan banyak lagi amat bahaya kerana ia boleh meragut nyawa kita.

Jika ada di antara kita yang sedang melaluinya, mintalah bantuan daripada pakar doktor dan jangan selalu mengasingkan diri kerana anda akan lebih tertekan.

Seorang wanita menceritakan kejadian yang berlaku terhadap adiknya di laman Facebook untuk memberi kesedaran kepada orang ramai betapa bahayanya penyakit mental jika tidak dirawat.

Nurul Hasanah, 33 tahun, meluahkan kejadian yang menyedihkan apabila dia kehilangan adik tersayang, Mirza, akibat kemurungan.

Menurutnya, Mirza yang sedang melanjutkan pelajaran di Universiti Osaka, Jepun, bertindak menamatkan riwayatnya sendiri akibat kemurungan pada April lepas.

Disebabkan itu, Hasanah begitu terkesan dengan kehilangan adiknya dan menyesal kerana tidak memaksa Mirza berjumpa doktor.

“Ada dalam kalangan ahli keluarga yang minta saya padam perkongsian di Facebook, tapi saya rasa sikap nak jaga air muka macam ni lah yang buat orang kita susah nak terima benda ni,” lapor mStar.

Sedikit latar belakang keluarga Hasanah, mereka sekeluarga menetap di Amerika Syarikat (AS) sehingga tahun 1998 dan kemudiannya pulang ke Malaysia.

Difahamkan, pada ketika itu Mirza baru berusia lima tahun ketika mereka pulang ke tanah air.

“Saya rasa dia mula mengalami kemurungan sejak sekolah rendah, sekitar tahun 2001,” ujarnya sambil menambah adiknya seorang yang ceria.

Semakin meningkat dewasa, Mirza menjadi seorang yang peramah, suka senyum dan begitu obses dengan perkara berkaitan negara Jepun.

Malah, dia juga berpeluang melanjutkan pelajaran ke negara impiannya dan melakukan perkara-perkara yang dia mahu selama ini.

“Dia seorang kanak-kanak yang pintar, dia juga boleh bercakap dengan sesiapa pun tanpa rasa malu. Apa yang buat seorang yang ceria seperti Mirza bertindak begitu sekali?” soal Hasanah di akaun laman Facebook miliknya.

Lebih menyedihkan, lelaki itu bertindak membunuh diri sebulan selepas hari lahirnya yang ke-24 tahun.

Berikutan itu, dia dan ahli keluarga lain berangkat ke Jepun untuk pengecaman sebelum jenazah allahyarham dikebumikan di Wakayama.

“Sebagai kakak, saya kenal dia sebagai semua yang di atas tetapi saya juga tahu tentang sisinya yang sentiasa sedih dan murung. Dia rasakan kalau dia melayan sangat perasaanya, dia seorang yang lemah,” tambahnya.

“Semakin membesar, dia selalu terasa dengan benda-benda yang pada orang lain bukan benda yang besar. Bila dia kemurungan, kami cakap atau buat apa saja pun takkan dapat buat dia ceria kembali,” tulisnya.

Perkongsian Hasanah di laman sosial itu mendapat lebih 1,000 tanda suka dan dikongsi lebih 1,467 pengguna Facebook.

Walau bagaimanapun, Hasanah yang menetap di Perth, Australia, mengucapkan terima kasih kepada warga laman sosial yang berkongsi posting ditulisnya.

Dia berharap dapat mengurangkan stigma masyarakat mengenai penyakit mental seterusnya dapat memberi sokongan kepada yang memerlukan.

“Bagi yang mengalami depresi, saya harap mereka akui perkara itu pada diri sendiri. Cuba cari bantuan. Kalau tak boleh luahkan pada kawan atau keluarga, banyak badan-badan di luar sana yang boleh membantu,” jelasnya.

Sumber: Fb Nur Brkich & mStar