Penat lelah seorang wanita Pakistan berbaloi selepas mengambil masa selama 32 tahun untuk menulis dan menyulam al-Quran kerana hasil kerjanya dipamerkan di Pusat Pameran Al-Quran di Madinah, Arab Saudi.

Nasim Akhtar, 63 tahun, merupakan satu-satunya wanita di dunia yang menjahit tulisan kitab suci tersebut tanpa bantuan sesiapa.

“Saya gembira dengan apa yang dilakukan. Saya bermula ketika masih muda dan menamatkannya pada usia 60-an. Ia adalah hasil kerja keras dan dedikasi saya selama ini,” ujarnya.

“Saya menyalinnya daripada Quran lain. Kadang-kadang hanya dapat siapkan dua baris atau tiga baris. Tidak mudah untuk siapkannya kerana saya terpaksa membaca perkataan itu bagi memastikan tiada kesalahan,” jelasnya.

urbanesia.co.id

Berikutan itu, Nasim berharap hasil kerjanya diiktiraf oleh Guinness World of Record kerana belum pernah ada al-Quran disulam menggunakan tangan selain dirinya.

Difahamkan, dia menggunakan 300 meter kain dan 25,000 meter benang untuk melengkapkan sulaman bagi al-Quran tersebut.

Untuk pengetahuan anda, Nasim mula menulis dan menyulam al-Quran sejak Ogos 1987 semasa berusia 30 tahun dan siap menyulam sepenuhnya pada Januari tahun lepas.

“15 tahun pertama dihabiskan untuk menulis al-Quran manakala 17 tahun lagi untuk melakukan sulaman. Al-Quran seberat 55 kilogram(kg) itu mempunyai 10 volume dengan tiga juzuk bagi setiap volume,” sambungnya.

Sumber: Sinar Harian