Pelakon veteran, Wan Maimunah, berharap untuk berjumpa kembali dengan pelakon yang menjadi peragut dalam iklan dengannya pada 20 tahun lalu.

Menurutnya yang mesra dengan panggilan ‘Ibu’, walaupun sudah hampir dua dekad, iklan lakonannya itu masih lagi memberi impak kepada penonton.

“Walaupun sudah hampir 20 tahun, ibu sendiri tak sangka yang orang masih suka dan ingat setiap babak dimuatkan dalam iklan itu,” ujarnya.

“Kalau ada peluang, saya teringin sangat nak berjumpa dengan individu yang jadi ‘peragut’ itu. Mana tahu, kalau dia membaca berita ini, sila hubungi saya” luahnya.

Video iklan khidmat masyarakat itu sedikit sebanyak memberi peringatan kepada orang ramai mengenai kes ragut yang masih berlaku sehingga kini.

“Sesuai dengan situasi sekarang, banyak juga kes-kes ragut yang kembali berlaku dan ini sedikit sebanyak dapat memberi peringatan buat kita semua,” jelasnya.

“Pihak produksi nak sediakan tilam untuk babak saya terjatuh selepas diragut, tapi saya tolak kerana nak bagi nampak realisitik,” ujarnya yang melakonkan sendiri adegan aksi dalam iklan tersebut.

“Lelaki yang berlakon sebagai ‘peragut’ itu pun bukanlah pelakon. Jadi, ibu yang ajar dia bagaimana untuk menampakkan adegan ragut itu seakan realistik,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro