Melakar sejarah dengan mempengerusikan mesyuarat kabinet, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menjadi wanita pertama mempengerusikan mesyuarat tersebut di Bangunan Perdana Putra, semalam.

bernama.com

Dia yang menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini berada di New York untuk lawatan kerja dan menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-73.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, itu juga turut berkongsi detik bersejarah dalam satu entri dimuat naik di akaun Twitter rasminya, @drwanazizah mencatat “Sejarah tercipta, pertama kali dalam sejarah Malaysia wanita mempengerusikan mesyuarat kabinet” dengan tanda pagar #WomenPower.

Sebelum ini, Wan Azizah telah melakar sejarah tersendiri apabila dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas Pakatan Harapan mencatatkan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei lalu.

Sumber: mStar