Rumah yang dahulunya menjadi tempat berteduh seluruh keluarga kini telah menjadi sebuah pusat mengaji al-Quran hasil sepakat 12 beradik yang pernah menghuni rumah tersebut.

Niat murni guru mengaji al-Quran, Zainon Jaafar, 72 tahun, bersama 11 adiknya yang lain nekad mewakafkan rumah pusaka keluarga mereka untuk dijadikan Rumah Ngaji Ibnu Jaafar bagi kemudahan anggota komuniti di Kampung Paya Lebar, Lubok Cina, Melaka.

“Rumah ini milik arwah bapa, Jaafar Koter dan ibu, arwah Timah Alam yang sudah lama kembali ke rahmatullah. Kami adik-beradik sudah mempunyai rumah masing-masing di kampung ini dan ada juga yang merantau ke Kuala Lumpur,” ujarnya.

“Kami bincang apa yang boleh kami buat dengan rumah ini. Ada cadangan menjadikan inap desa, tetapi akhirnya kami sebulat suara menjadikannya pusat mengaji al-Quran yang dinamakan Rumah Ngaji Ibnu Jaafar. Ganjaran inap desa hanyalah bersifat dunia sedangkan ganjaran yang kekal abadi adalah di akhirat kelak,” jelasnya.

Rumah Ngaji Ibnu Jaafar itu dirasmikan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Wira Omar Jaafar, semalam.

Difahamkan, setakat ini pusat mengaji al-Quran tersebut telah menerima seramai 12 orang pelajar antaranya ialah seorang lelaki lembam berusia 30 tahun dan seorang warga emas wanita berusia 84 tahun untuk belajar al-Quran pada setiap hari Sabtu dan Ahad bermula pukul 3 petang sehingga lima petang.

Sumber: Harian Metro