Semalam tular satu video mengenai sebuah kereta terbabas hingga kemalangan berhampiran susur Subang Jaya dan dikatakan berpunca daripada pihak tidak bertanggungjawab mencurah minyak di kawasan tersebut.

Walau bagaimanapun, pihak polis menafikan kemalangan tersebut disebabkan oleh pihak mencurah minyak.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman, menjelaskan bahawa sebaliknya kemalangan itu berlaku pada 17 Julai lalu akibat mengelak lopak air.

“Kejadian itu berlaku pada 1 pagi apabila pemandu Honda Insight Hybrid membabitkan seorang wanita gagal mengelak lopak air,” ujarnya.

“Siasatan lanjut serta keterangan saksi yang membantu mangsa menyatakan tidak berlaku kes khianat tuang minyak di permukaan jalan raya,” katanya.

Namun, kini pihaknya masih belum mengenalpasti perakam video dan sumber yang ditularkan.

“Orang ramai diseru supaya lebih berintegriti dalam menyebar berita dan berbudi luhur dalam membina masyarakat yang harmoni,” ujarnya.

“Berita yang belum disahkan kesahihannya mudah menarik perhatian umum serta mampu mengundang kegusaran umum khususnya pengguna yang sering menggunakan jalan raya di lokasi kejadian,” tambahnya lagi.

Sumber: Harian Metro