Vanidah Imran bakal mewakili negara ke pertandingan seni pertahanan diri antarabangsa, 2019 Chungju World Martial Arts Masterships, di Korea Selatan. Bagi pelakon terkenal itu, peluang dihulurkan itu menjadi penghormatan besar buatnya.

Pelakon itu bakal terbang pada 29 Ogos ini, Vanidah akan menyertai 19 lagi pesilat profesional daripada Persekutuan Seni Silat Cekak Pusaka Ustaz Hanafi Malaysia ke negara berkenaan.

“Di sana, saya akan bertanding dalam kategori berkumpulan. Ia tentu sahaja peluang cukup bermakna selepas lebih dua bulan menjalani latihan pesat.

“Hingga saat ini, saya tidak pernah terlintas untuk bertanding atau mewakili Malaysia dalam pertandingan sebegini. Saya hanya belajar silat untuk mempertahankan diri selain tuntutan watak, seperti ketika terbabit dalam pementasan teater Mahsuri di Istana Budaya.

“Sejak awal membabitkan diri dalam seni, saya sudah mula belajar asas silat, namun tidak pernah terlintas untuk serius sehingga memasuki pertandingan,” katanya kepada BH Online.

“Sepanjang tempoh latihan untuk pertandingan ini, saya juga perlu membahagikan waktu dengan kerja lakonan dan tumpuan terhadap anak. Sebelum itu, saya juga terikat dengan persiapan untuk aktiviti maraton di Tokyo,” katanya yang mempelajari seni silat cekak sejak 2016.

Tiga tahun lalu, pertubuhan silat berkenaan membawa pulang pingat perak daripada pertandingan terbabit menerusi kategori berpasangan.

Sumber: BH Online