Seorang ustazah yang dilaporkan hilang di Balik Pulau, Pulau Pinang, Nurfarhana Ibrahim, 27 tahun, sejak Isnin lalu dikatakan hanya makan roti dan minum air mineral sebelum muncul di Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Kuala Kangsar, Perak, semalam.

Sepanjang hampir empat hari itu, ustazah tersebut juga dikatakan tidur di beberapa surau selain banyak menghabiskan masa berjalan kaki.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, ACP Razali Ibrahim, memberitahu bahawa guru agama itu muncul di IPD Kuala Kangsar kira-kira pukul 3.15 petang. Difahamkan, wanita itu dikatakan hanya ‘sedar’ ketika berada di Padang Rengas.

“Setakat ini, kita tidak boleh cakap dengan jelas apa yang berlaku pada dia. Cuma yang pasti, dia kata, bila dia sedar, dia berada di Padang Rengas. Dari Padang Rengas, dia naik bas ke Kuala Kangsar, turun di depan hospital. Dari hospital dia berjalan kaki menuju ke IPD Kuala Kangsar,” jelasnya.

“Dia agak letih sedikit tetapi tiada apa-apa kecederaan. Dia dalam keadaan selamat dan normal, dia agak ceria dan gembira berjumpa suaminya. Dia juga berkata tidak sabar untuk balik dan menemui anaknya,” sambungnya.

hmetro.com.my

Selain itu, tindakan lanjut seperti pemeriksaan doktor akan ditentukan oleh pihak polis Balik Pulau memandangkan laporan dibuat di sana.

Berdasarkan soal siasat, dia hanya berbekalkan wang yang berada di dalam poketnya, di samping senaskhah al-Quran di dalam beg yang dibawa selain tidak membawa apa-apa dokumen ketika keluar dari Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Pulau Pinang.

Selepas itu, Nurfarhana diserahkan kepada ahli keluarga sebaik sahaja suaminya tiba untuk membuat pengesahan pada pukul 5.30 petang semalam.

Sumber: Astro Awani