Jurunikah amat penting dalam majlis akad nikah bagi pasangan beragama Islam yang mahu mendirikan rumahtangga. Selain itu, saksi juga penting dalam melengkapkan sebuah akad nikah perkahwinan agama Islam.

Difahamkan, bayaran upah jurunikah dan dua saksi di negeri Perak akan dinaikkan daripada RM100 kepada RM200 bermula 1 Mac depan.

Kenyataan dikeluarkan melalui laman Facebook rasmi Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) yang menyatakan kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) Perak pada 23 Januari lepas bersetuju untuk meluluskan cadangan kenaikan harga upah jurunikah dan saksi tersebut.

Menurutnya, kenaikan daripada RM100 kepada RM200 itu adalah membabitkan jurunikah RM140 serta saksi pertama dan kedua masing-masing RM30.

“Sehubungan itu, kadar baru itu akan berkuatkuasa 1 Mac ini. Perkara ini akan dimaklumkan kepada semua Penolong Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk di semua daerah di negeri ini,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro