Disebabkan minat yang mendalam terhadap animasi popular Jepun iaitu watak Pikachu, memberi ilham kepada penghantar barangan persendirian, Muhammad Raihan Jumali, 23 tahun, menjadikannya sebagai konsep dalam perkhidmatan penghantarannya.

Menurutnya, dia tidak sangka perkhidmatan yang baru diusahakannya sejak awal tahun ini mencuri tumpuan warga laman sosial apabila ia dimuatnaik seorang pengguna Twitter yang mengagumi kerjayanya.

“Sejak kecil lagi saya suka menonton siri animasi Pokemon dan meminati watak Pikachu. Malah, warna kuning juga adalah warna kegemaran saya,” ujar anak bongsu daripada tujuh beradik.

“Motosikal itu baru saja dibeli Jun lalu dan tampal pelekat Pikachu pula Ogos dengan kos RM350,” jelasnya yang mengusahakan perkhidmatan itu atas dasar minat menunggang motosikal.

Selain itu, faktor ingin menambah pendapatan dan mencari pengalaman sendiri membuatkan dia tidak mahu hanya bekerja dengan bapanya.

“Impian saya dalam masa dua atau tiga tahun lagi saya dapat membuka sebuah perkhidmatan penghantaran. Syukur, sejak menjadi penghantar barangan, ramai yang menggunakan perkhidmatan ini terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dulu,” katanya.

“Adik-beradik yang lain sudah besar dan mempunyai kerjaya sendiri di luar Johor. Tinggal saya dan arwah ibu saja yang dapat membantunya ketika itu,” tambahnya yang bersekolah sehingga Tingkatan Empat sahaja kerana mahu membantu meneruskan perniagaan bapanya.

“Jadi, saya pilih membantu ayah, rugi jika ia ditutup kerana perniagaan kedai sup kambing itu sudah bertapak 24 tahun di Sri Gading, Batu Pahat,” sambungnya lagi yang tidak pernah berasa menyesal dengan keputusannya berbakti kepada keluarga.

Kini, Raihan bekerja sebagai penghantar barangan persendirian dengan nama perkhidmatan, Raihan Runner, pada sebelah siang.

“Waktu malam pula membantu ayah di kedai yang diberi nama Raihan Corner. Sebenarnya, ayah jenamakan semula kedainya pada 2010 sempena nama saya atas kecemerlangan memperoleh 4A 1B dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR),” jelasnya.

Untuk pengetahuan anda, antara kawasan penghantaran yang disediakan Raihan Runner ialah di Ayer Hitam, Parit Raja, Jalan Parit Botak, Senggarang, Sri Gading, Parit Yaani dan Yong Peng.

Raihan Runner juga beroperasi setiap hari dengan caj penghantaran serendah RM3 pada jarak kurang lima kilometer(km) dan tambahan 50 sen sahaja untuk satu km seterusnya.

Sumber: Harian Metro