Selalunya kumpulan nasyid akan mendendangkan lagu menggunakan muzik dan suara penyanyi, namun kali ini kumpulan nasyid yang dikenali sebagai 5 Brothers menggunakan bahasa isyarat dalam persembahan mereka.

Bahasa isyarat digunakan bagi menyampaikan dakwah kepada Orang Kurang Upaya (OKU) seperti golongan pekak dan bisu agar mereka dapat memahami maksud lagu ketika persembahan.

“Asalnya kami gunakan pendekatan ini sewaktu melakukan persembahan bagi aktiviti sukarelawan ketika menuntut di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan selepas menamatkan pengajian, kami menyertai Yayasan Faqeh dan menjadi tenaga pengajar kepada OKU yang mempunyai masalah pelajaran,” ujar ketua kumpulan, Muhammad Zaid, 24 tahun.

Jelasnya, mereka menubuhkan semula kumpulan nasyid untuk menyebarkan mesej berkaitan ibadah, al-Quran dan sebagainya kepada anak istimewa di samping memberi gambaran visual kepada OKU untuk belajar bahasa isyarat.

“Fokus kami sekadar membantu anak istimewa ini saja kerana kami banyak didedahkan dengan mereka sejak peringkat pengajian dan sekarang pula bekerja membantu mengajar OKU bermasalah pelajaran,” tambahnya.

Kumpulan 5 Brothers dianggotai oleh Muhammad Zaid Abdul Samat, Muhamad Nasri Suratman, Muhammad Syamim Jamaludin, Nik Ahmad Farid Nik Shabery, dan Awang Ku Mad Aiman Pengiran Mohammad Zaman.

“Sekiranya ada yang mahu menjemput kami untuk membuat persembahan terutama kepada OKU, kami sedia membantu sekiranya ada masa terluang,” jelas Zaid sebelum mengakhiri perbualan.

Sumber: Harian Metro