Persatuan ulama tertinggi di Sri Lanka menegah umat Islam di negara itu daripada menyertai solat berjemaah di masjid. Ini adalah susulan selepas agensi risikan memberi amaran bahawa wujud kemungkinan serangan bom, ketika ramai bimbang terhadap tindak balas keganasan.

“Umat Islam digesa solat di rumah untuk melindungi ahli keluarga dan harta benda,” kata persatuan ulama utama di Sri Lanka, All Ceylon Jamiyathul Ullama.

Polis negara terbabit memaklumkan ia sedang mengesan 140 individu yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh, susulan pengeboman Hari Easter di beberapa gereja dan hotel, Ahad lalu, yang mengorbankan 253 orang.

Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Sri Lanka turut menggesa warganya supaya mengelak tempat beribadat, menjelang hujung minggu, selepas pihak berkuasa mengingatkan kemungkinan lebih banyak serangan terhadap pusat ibadat.

Sehingga kini, Sri Lanka masih dalam keadaan berjaga-jaga, selepas beberapa serangan bom terhadap tiga gereja dan empat hotel selain turut mencederakan kira-kira 500 mangsa lain.

Hampir 10,000 tentera dikerahkan seluruh negara di Lautan Hindi itu untuk menjalankan serbuan dan memberikan kawalan keselamatan terhadap pusat ibadat, menurut tentera.

Sumber: Berita Harian