Sejak minggu lepas, para penyokong Harimau Malaya telah sedaya-upaya membeli tiket perlawanan akhir AFF Suzuki Cup 2018 dengan beratur panjang di Stadium Nasional Bukit Jalil selain menunggu di hadapan komputer untuk membeli tiket secara dalam talian.

Walau bagaimanapun, ramai yang mengeluh kerana tidak berjaya membeli tiket sedangkan ‘ulat tiket’ sudah memperoleh banyak tiket untuk dijual semula pada harga tinggi.

Paling mengejutkan, ada yang sanggup menjual kembali tiket pada harga yang tidak munasabah hingga mencecah RM500. Agak-agak la bang kalau nak cepat dapat duit.

Menurut tinjauan The Vocket di laman Carousell dan Mudah, mereka mendapati beberapa reseller tiket final menjual tiket pada harga di antara RM150 hingga RM200.

Harga tiket paling mahal dijual setakat ini ialah sebanyak RM500 untuk sekeping tiket sahaja. Agak melampau apabila harga asal tiket hanyalah RM40 hingga RM60 dijual berkali ganda oleh ‘ulat tiket’.

Diharap orang ramai tidak terpedaya dengan sindiket ‘ulat tiket’ yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

Sumber: The Vocket