Lagi dua hari sahaja lagi akan tiba Hari Kekasih atau dalam bahasa Inggerisnya, Valentine’s Day, iaitu hari yang sering dikaitkan dengan cinta.

thestar.com.my

Walau bagaimanapun, Ketua Dewan Ulama PAS Sabah, Mustaqim Aling, menyeru umat Islam agar tidak meraikan Hari Valentine.

Menurutnya, amalan itu bertentangan dengan ajaran Islam, selari dengan keputusan muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan dan Majlis Fatwa Negeri Sabah.

“Perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang dalam Islam,” ujarnya.

Selain itu, Mustaqim turut meminta semua pihak terutamanya pihak masjid dan surau, sekolah serta institusi pengajian semua peringkat agar menguar-uarkan larangan sambutan Hari Kekasih, lapor Harakahdaily.

Tambahnya, golongan remaja Islam masih ghairah menyambut Hari Valentine walaupun sudah jelas ia bertentangan dengan ajaran Islam.

“Antara perkara yang sangat menyedihkan lagi ialah apabila iklan melalui media sosial dilakukan secara besar-besaran. Ini khususnya dilakukan oleh pihak hotel dan restoran-restoran,” sambungnya.

Sumber: Malaysiakini