Universiti tempatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar sejarahnya tersendiri apabila berjaya menjadi universiti pertama membina dan melancarkan satelit nano, ‘UiTMSAT-1′ ke angkasa lepas pada Jumaat lalu.

Difahamkan, UiTMSAT-1 dilancarkan ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) menerusi roket kargo Space X Falcon 9 dari Stesen Tentera Udara Cape Canaveral di Florida, Amerika Syarikat, pada pukul 5.47 petang waktu tempatan.

Satelit nano berbentuk kiub berukuran 10 sentimeter itu dihasilkan oleh dua pelajar UiTM di Jepun iaitu Syazana Basyirah Mohamad Zaki dan Muhammad Hasif Azami hasil jalinan kerjasama dengan Kyushu Institute of Technology (KyuTech) menerusi program ‘Joint Global Multi-Nation (BIRDS-2)’.

says.com

Untuk pengetahuan anda, Syazana dan Hasif merupakan pelajar Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) yang sedang menyambung pengajian peringkat Sarjana dan PhD dalam bidang berkaitan di negara matahari terbit itu.

says.com

Selain itu, terdapat lapan pelajar lain dari Bhutan dan Filipina yang turut mengikuti program tersebut dan membina satelit nano untuk negara masing-masing iaitu BHUTAN-1 dan MAYA-1 (Filipina).

says.com

Pelancaran UiTMSAT-1 itu disaksikan oleh Naib Canselor UiTM, Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said, Dekan FKE Prof Ir Dr Mohd Nasir Taib, Pengarah Pusat Komunikasi Satelit UiTM, Prof Ir TS Dr Mohamad Huzaimy Jusoh serta pensyarah dan pelajar fakulti itu menerusi tayangan secara langsung ISS di laman sosial Youtube pada Jumaat lepas.

Menurut Hassan, satelit nano tersebut akan disimpan sementara waktu di ISS dan akan dilepaskan ke orbit pada bulan depan dalam jarak kira-kira 400,000 kilometer dari bumi untuk mengelilinginya.

says.com

“Saya rasa ia adalah pencapaian terhebat dan ia harus dijadikan permulaan untuk warga UiTM ke peringkat seterusnya dan diharap lebih banyak projek berimpak tinggi dapat dihasilkan kerana ia pasti memberi manfaat kepada universiti dan negara,” katanya.

Tambahnya, UiTM hanya mengeluarkan kos sebanyak RM500,000 manakala penghantaran pelajar ke Jepun adalah atas biasiswa kerajaan dan pelancaran satelit pula disubsidi hasil kerjasama pintar dengan Jepun.

Antara enam misi satelit nano itu adalah pengambilan imej, menguji korelasi lokasi satelit, ujian cip Sistem Penentu Kedudukan Global (GPS), mengukur medan magnetik di angkasa untuk data pemetaan geomagnetik di rantau Asia Tenggara serta komunikasi radio.

Sumber: mStar