Sejak kebelakangan ini tular mengenai harga udang galah dijual pada harga begitu murah iaitu RM1 seekor. Malah, ada yang tidak percaya kerana kita semua maklum udang galah sememangnya mahal.

Orang ramai sanggup beratur sejam lebih awal demi membeli udang galah di sebuah kedai borong di Pekan Benut, Pontian, Johor.

Disebabkan udang galah RM1 tular di media sosial, sebanyak 600 ekor udang galah habis dijual oleh pemilik kedai borong, Hamid Ali, 60 tahun, dalam masa kurang daripada satu jam.

Setelah mendapat sambutan luar biasa oleh orang ramai, Hamid berjanji akan mengadakan jualan udang galah RM1 seekor pada hari esok memandangkan ramai pelanggan yang tidak dapat membelinya kerana bekalan sudah habis.

Menurutnya, dia yang berniaga di Pasar Borong Taman Kota Murni Batu Pahat, Johor, bersama anaknya, Abd Halim, 34 tahun, itu mendapat bekalan udang galah daripada pembekal di Kota Tinggi, Johor.

Dia ada memasang niat untuk membuka sebuah lagi kedai borong di bandar Pontian memandangkan ada permintaan agar dia melebarkan perniagaannya di sana, namun belum menemui tapak kawasan sesuai untuk dijadikan kedai borong ikan dan udang.

Sumber: Sinar Harian