Tak semua orang yang menunggang motosikal itu jahat dan tak semua kawan itu tidak kenang budi. Bayangkan jika ada kawan anda yang sanggup datang jauh semata-mata ingin menuntut jenazah anda kerana dia ada rasa bertanggungjawab terhadap anda.

Seorang pengguna laman Facebook, Normaliza Mahadi, berkongsi kisah seorang anak muda berusia 20-an sanggup menunggang motosikal dari Johor hingga ke Sungai Petani, Kedah demi untuk menuntut jenazah rakannya di sana.

Menurutnya, dia dan suaminya terjumpa anak muda itu membeli burger di Bandar Sri Putra, Kajang, dan kemudian berborak sedikit sambil bertanya mengapa kena tuntut jenazah rakannya.

“Kawan saya anak yatim. Ibubapa dah meninggal. Tak ada sesiapa sebab anak tunggal. Jadi saya ke sana nak ambilkan sijil mati kedua ibubapanya di rumah arwah dan tuntut sekali jenazah dan kebumikan. Sebab saya aje yang ada kunci spare rumah kawan saya ni,” ujarnya.

Tambah anak muda yang baik hati itu lagi, dia mengalami kemalangan semasa menolak motosikal seorang pakcik rosak di tepi jalan sebelum ini.

Malah, Normaliza sempat bertanya dari mana dia memiliki hati yang begitu baik dan ikhlas seperti itu dan rupa-rupanya dia juga seorang anak yatim seperti arwah rakannya.

“Kita doakanlah adik ini sampai ke destinasi. Moga rakannya selamat dikebumikan dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang soleh,” tulis Normaliza.

Semoga anak muda berhati mulia ini selamat sampai ke destinasi dan semoga Tuhan melindunginya sepanjang perjalanan pergi dan balik.

Sumber: Fb Normaliza Mahadi