Perdana Menteri negara ini, Tun Dr Mahathir Mohammad, tersenarai antara pemimpin Islam yang paling berpengaruh dalam edisi terbaru The Royal Islamic Strategic Studies Centre yang dikeluarkan kelmarin.

Difahamkan, Tun Dr Mahathir berada di kedudukan ke-44 daripada 50 individu paling berpengaruh sejak memegang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua.

“Dr Mahathir merupakan kunci transisi ekonomi Malaysia daripada berasaskan sektor agrikultur kepada industri,” ujarnya.

“Beliau disegani atas sokongan beliau kepada nilai-nilai liberal Muslim dan telah menubuhkan institusi-institusi Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia,” kata laporan tinjauan yang diterbitkan setiap tahun itu,” jelasnya.

Malah, sumbangan Tun yang digariskan termasuklah peranan aktif dalam Suruhanjaya Jenayah Perang Kuala Lumpur berkaitan dengan penganiayaan di Iraq, Lebanon, dan wilayah Palestin.

Selain itu, pemilihan Tun juga dikaitkan dengan peranannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tahun lalu yang membawa kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH).

Di samping itu, penceramah terkenal, Dr Zakir Naik, 53 tahun, tersenarai pada kedudukan ke-500 tokoh dan individu yang paling berpengaruh dalam dunia Islam dan nama beliau turut tersenarai dalam edisi-edisi sebelum ini.

Sumber: Astro Awani & Sinar Harian