Selepas diserang pengganas pada bulan lepas di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand, berita terbaru yang kurang enak didengar pula diterima mengenai gempa bumi dan tsunami besar bakal melanda negara tersebut.

Berdasarkan jangkaan dan kajian pakar penyelidik daripada East Coast LAB, New Zealand bakal dilanda gempa bumi 9.0 magnitud jika gegaran kuat berlaku di zon benam Hikurangi.

Malah, satu tsunami besar bakal berlaku susulan gempa bumi tersebut dengan ombak setinggi 30 meter di mana kesannya lebih teruk daripada tsunami yang berlaku di Jepun pada tahun 2011.

Difahamkan, pihak berkuasa juga mungkin kekurangan masa untuk memberi amaran bencana kepada penduduk yang tinggal berdekatan persisiran pantai jika tsunami berlaku nanti.

Pakar tsunami GNS Science, Dr William Power, menjelaskan bahawa ombak besar itu akan berlaku dengan cepat hingga tidak sempat memberikan amaran kepada penduduk.

“Sekiranya tsunami berlaku di negara ini, kemungkinan besar amaran peringatan bencana secara rasmi tidak akan dikeluarkan sebelum gelombang gempa bumi dan tsunami itu tiba,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani