Pengarah Eksekutif ANIH Berhad, Datuk Nik Fauzi Tan Sri Nik Hussein, menjangkakan lonjakan trafik daripada purata trafik harian iaitu 156,000 kenderaan berikutan orang ramai pulang ke kampung halaman sempena sambutan hari raya Aidiladha pada Jumaat ini.

Gambar sekadar hiasan

Berikutan itu, aliran trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1(LPT 1) ke Pantai Timur dijangka melonjak lebih 50 peratus, mulai hari ini dan esok.

Semua kemudahan awam di kawasan Rehat dan Rawat(R&R) di dua lebuh raya berkenaan dibuka kepada pengguna mengikut prosedur operasi standard(SOP) tertentu bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi.

“Pembukaan semua kemudahan awam di R&R sepanjang lebuh raya kendalian ANIH Berhad ini dibuat mengikut SOP selaras dengan ketetapan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi memastikan penjarakan sosial sentiasa dipatuhi,” ujarnya.

“Bagaimanapun kemudahan R&R akan ditutup sementara kepada pengguna sekiranya berlaku kesesakan,” tambahnya.

Pengguna jalan raya dinasihatkan meneruskan perjalanan menuju ke R&R seterusnya jika berlaku kesesakan.

Gambar sekadar hiasan

“Pada masa sama, pihak konsesi akan terus menjalankan kerja-kerja sanitasi, pembersihan nyahkuman dan nyahcemar sebagai langkah tambahan bagi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19,” jelasnya.

Selain itu, pengguna diingatkan agar merancang perjalanan dengan merujuk Jadual Cadangan Waktu Perjalanan(TTA) yang dikeluarkan ANIH Berhad di laman sosial media syarikat iaitu Twitter di @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur bagi membantu kelancaran perjalanan selain mendapatkan maklumat rasmi terkini mengenai fasiliti perkhidmatan dan kemaskini trafik di Lebuhraya KLK dan LPT 1.

“Ia bertujuan mengawal jumlah pergerakan trafik dan dilihat sebagai antara pendekatan terbaik membantu mengelakkan kenderaan bertembung pada satu masa yang sama di plaza tol, khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak hingga boleh menyebabkan kesesakan,” katanya.

Selain itu, pengguna jalan raya dinasihati agar sentiasa memastikan baki nilai kad Touch ‘n Go(TNG) sentiasa mencukupi kerana tiada urusan transaksi tambah nilai di lorong tol, manakala Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di plaza tol pula hanya beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang bagi mengurangkan risiko penularan Covid-19.

Walau bagaimanapun, terdapat kiosk tambah nilai layan diri(SSK) yang terdapat di Hentian Sebelah Gombak(arah Barat sahaja), R&R Genting Sempah, R&R Temerloh (arah Timur atau Barat) dan Plaza Tol Gambang.

Sumber: Sinar Harian