Seorang rakyat Malaysia sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Australia kini memerlukan dana kewangan untuk menampung kos rawatan yang mencecah AUD15,000 (RM45,000) meminta pertolongan rakyat negara ini memberi bantuan kerana wang simpanan mereka hampir susut.

Zakaria Darus, 50 tahun, dari Taman Seroja, Sungai Layar, Sungai Petani, dimasukkan ke Royal Brisbane and Women’s Hospital, Australia, akibat serangan angin ahmar ketika mahu menghadiri majlis konvokesyen anak sulungnya, Farhan, 22 tahun, pada 18 Julai lalu.

Menurut isteri Zakaria, Normahani Alli, 45 tahun, suaminya menunjukkan tanda-tanda apabila hampir terjatuh dalam bilik air namun berjaya menahan badan suaminya.

“Sebenarnya suami memang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi. Dia kelihatan lemah sejak kami tiba di lapangan terbang sehingga hampir terjatuh di dalam bilik air di rumah anak,” ujarnya yang tiba di Gold Coast untuk menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Queensland pada 17 Julai lalu.

Pasangan itu memerlukan sebanyak AUD400 (RM1,200) sehari untuk menampung kos rawatan suaminya di hospital berkenaan sekurang-kurangnya dua minggu lagi sebelum dibenarkan pulang ke tanah air.

“Kami juga memerlukan kira-kira RM10,000 bagi kos penghantaran pulang suami,” katanya sambil menjelaskan mereka menggunakan duit simpanan yang ada untuk menampung kos rawatan namun simpanan semakin susut.

“Bagaimanapun, simpanan kami semakin susut kerana turut menanggung empat lagi anak berusia 12 hingga 20 tahun yang masih belajar, dan saya pula hanya bekerja sebagai pembantu tadika dengan gaji RM500 sebulan,” jelasnya.

Sesiapa yang ingin menolong dan bersimpati terhadap pasangan ini boleh menghulurkan sumbangan ke akaun Maybank 102055484144 atas nama Normahani Alli (isteri).

Sumber: Harian Metro