Syarikat Tenaga Nasional Berhad(TNB) akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga(ST) selepas didapati melakukan beberapa kesalahan dan ketidakpatuhan menyediakan perkhidmatan utiliti kepada pengguna.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, menjelaskan bahawa ST sedang menyenaraikan jumlah kesalahan dilakukan TNB sebelum mengumumkan penalti yang perlu dibayar.

Siasatan awal mendapati TNB melakukan kesalahan kerana tidak menepati prestasi perkhidmatan piawai ditetapkan kementerian dalam menyediakan perkhidmatan elektrik, baru-baru ini.

“TNB melakukan kesalahan dan apa yang berlaku sebelum ini (kenaikan bil) disebabkan masalah teknikal syarikat berkenaan. Mereka sudah selesaikan 50 peratus aduan sebelum hari raya, namun saya masih menunggu kemas kini keseluruhan aduan yang sudah selesai,” ujarnya.

“Memang mereka(TNB) ada lakukan kesalahan mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikenakan penalti oleh Suruhanjaya Tenaga. Ada dua pilihan sama ada dikenakan tindakan mahkamah atau penalti. Tapi penalti lebih senang,” jelasnya.

“Sekarang ST masih mengumpul jumlah kesalahan yang dilakukan TNB dan jumlah kesalahan dan penalti akan diumumkan tidak lama lagi. Ini untuk mengingatkan TNB juga tidak boleh cuai dalam menyediakan perkhidmatan elektrik di Malaysia,” sambungnya.

Menurutnya, TNB seharusnya patuh dengan prestasi perkhidmatan piawai supaya tidak membebankan pengguna dan menjadi lebih baik.

ST menyiasat aduan pengguna mengenai bil elektrik yang tinggi dikenakan TNB selepas menerima lebih 300 aduan dari seluruh negara berhubung isu bil elektrik tinggi.

Sebelum ini, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Amir Hamzah Azizan, menjelaskan dalam satu sidang media khas 31 Mei lalu mengakui berlaku gangguan dalam sistem mereka pada 15 hingga 20 Mei lalu menyebabkan segelintir pengguna menerima bil yang tinggi.

Isu teknikal berkenaan memberi kesan kepada sistem pengebilan mereka namun pelanggan sudah dimaklumkan menerusi pelbagai platform.

Berikutan itu, TNB dikatakan berjanji untuk meneliti dan memperinci aduan atau laporan yang diterima dan sekiranya terbukti ada lebihan caj, pihaknya akan kreditkan semula ke dalam bil pelanggan.

Sumber: Harian Metro