Selepas dua tahun terpisah, siapa sangka video Tik Tok berjaya menyatukan semula seorang lelaki dengan keluarganya setelah hilang dua tahun.

Menurut BBC, pencarian keluarga R Venkateshwarlu berakhir apabila mereka terlihat video dimuatnaik oleh Konstabel Polis Punjab, Ajaib Singh, di akaun Tik Tok yang mempunyai lebih 800,000 pengikut.

Video dimuat naik pada Mac lalu menunjukkan Singh mengagihkan makanan kepada pekerja asing dan golongan miskin yang duduk bawah jejantas di Ludhiana apabila seorang penerima bantuan adalah Venkateshwarlu.

Seorang rakan anak Venkateshwarlu yang kebetulan menonton video berkenaan memaklumkan ahli keluarga mereka sebelum menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.

Difahamkan, Venkateshwarlu mengalami masalah pendengaran dan pertuturan terpisah dengan keluarga selepas tertidur sewaktu menaiki trak untuk ke tempat kerja dari Telangana ke kampung lain, pada April tahun 2018.

Seorang daripada lima anaknya, R Peddiraju, menjelaskan bahawa pemandu trak itu tidak sedar bapanya ada di dalam trak berkenaan.

“Selepas memandu beberapa kilometer(km), barulah pemandu perasan dan menurunkan ayah ke tepi jalan,” ujarnya.

Malah, Ventakeshwarlu pernah berusaha mencari jalan pulang dan bertemu pemandu trak yang sudi menumpangkannya.

Walau bagaimanapun, selepas beberapa jam, Ventakeshwarlu tersedar pemandu tersebut menuju ke laluan bertentangan dan dia diturunkan di Ludhiana, bandar perindustrian besar yang terletak jauh di utara Punjab.

Sejak itu, dia hidup dengan ihsan penduduk tempatan yang memberinya makanan, tetapi dia mengalami masalah komunikasi kerana tidak memahami serta boleh bertutur dalam Bahasa Punjabi.

“Kami menangis ketika pertama kali melihat satu sama lain dan ayah meminta saya bawanya pulang,” kata anaknya.

“Polis menasihatkan saya bertemu dengannya selepas tamat perintah pergerakan tetapi kami tidak boleh menunggu lagi dan berjaya mendapatkan permit merentas negeri,” jelasnya.

“Ini kali pertama ayah terpisah dengan kami untuk tempoh lama,” tambahnya.

Sumber: Harian Metro & Agensi