Dalam minggu ini, beberapa negeri mengalami cuaca panas terik hinggakan beberapa tempat mengalami jerebu akibat kebakaran.

Walau bagaimanapun, Malaysia tidak akan mengalami cuaca panas melampau seperti tahun 1998 dengan suhu tertinggi 40 darjah Celsius.

Pengarah Pusat Operasi Cuaca dan Geo Fizik Nasional Jabatan Meteorologi Malaysia(METMalaysia), Dr Hisham Mohd Anip, memberitahu bahawa suhu tertinggi dijangka adalah di antara 37 hingga 38 darjah Celsius di beberapa negeri di utara seperti Perak, Kedah dan Perlis.

Menurutnya, cuaca panas dijangka berlarutan sehingga bulan Mei depan merupakan fenomena biasa yang melanda negara ini kerana kita sudah menghampiri penghujung monsun timur laut.

“Kebiasaannya kalau kita tengok rekod-rekod kita, suhu paling panas dialami di negeri-negeri utara seperti di Kedah, Perlis, Perak dan mungkin juga di pedalaman Kelantan dan Pahang,” ujarnya.

Gambar sekadar hiasan

“Memandangkan kini keadaan atmosfera kita bukan dipengaruhi oleh El Nino kuat, jadi kita tidak jangka akan sampai 40(darjah Celsius), sekitar 38(darjah Celsius) itu jangkaan kita,” jelasnya.

Selain itu, suhu di negeri lain pula dijangka berada pada suhu antara 35 hingga 36 darjah Celsius. Difahamkan, monsun yang melanda negara yang membawa cuaca panas dan kering tidak akan menyebabkan kemarau panjang.

“Kalau ikut kepada fasa cuaca kita sekarang, semalam ada beberapa kawasan mengalami hujan di Selangor dan Perak dan dijangkakan beberapa hari ini akan hujan berterusan sehingga pertengahan Mei disebabkan fasa peralihan monsun,” sambungnya.

Sumber: Astro Awani