Kementerian Kesihatan tidak akan mengeluarkan sebarang kompaun dalam tempoh enam bulan pertama penguatkuasaan larangan merokok di tempat makan, sebaliknya hanya notis amaran akan dikeluarkan kepada pesalah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, memberitahu bahawa jangka masa enam bulan pertama adalah tempoh penguatkuasaan pendidikan dan pesalah hanya akan diberi notis amaran sahaja.

“Larangan merokok di tempat makan mula berkuat kuasa semalam di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (Pindaan) 2018,” ujarnya.

“Dalam tempoh enam bulan ini, mereka yang masih merokok di tempat larangan iaitu tempat makan akan diberikan amaran secara bertulis,” sambungnya.

Gambar sekadar hiasan

“Sebagai permulaan kepada pindaan pewartaan ini, semua negeri sudah melaksanakan penguatkuasaan pendidikan seperti melaksanakan aktiviti pemakluman mengenai tempat larangan merokok melalui edaran risalah, makluman secara individu serta di media massa dan media sosial,” jelasnya.

“Aktiviti penguatkuasaan pendidikan juga merangkumi peringatan kepada pemilik premis mengenai tanggungjawab mereka untuk meletakkan tanda larangan merokok dan memastikan tiada orang merokok sebagaimana Peraturan 12, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004,” katanya.

Sejak masuk tahun baru, peraturan larangan merokok dikuatkuasakan di semua restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran serta warung berkonsep terbuka.

Perokok yang didapati merokok di kawasan larangan akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

Sumber: Berita Harian