Untuk pengetahuan anda, perniagaan Tepung Pelita Paya Jaras bermula sejak tahun 1999 dan hanya boleh didapati semasa bulan Ramadan saja.

Pengusaha Tepung Pelita Paya Jaras, Watie Abdul Rahman, 48 tahun, serta suami, Nadzri Taris, 46 tahun, mengambil keputusan untuk tidak menjalankan jualan kuih popular itu pada Ramadan tahun ini berikutan mahu menyokong tindakan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19.

“Selama Perintah Kawalan Pergerakan(PKP), kerajaan menyarankan kita supaya mengelakkan COVID-19 daripada terus menular. Itu juga tujuan kami sebenarnya, sebab apabila kita berniaga kita memerlukan pergerakan yang banyak untuk memenuhi permintaan dan barang-barang yang disalurkan kepada orang. Jadi sebab COVID-19 inilah kami tidak berniaga pada tahun ini,” ujar Watie.  

Menurutnya, banyak permintaan daripada ejen-ejen jualan untuk menjual kuih berkenaan, namun dia masih berpegang teguh dengan pendiriannya tidak akan menjalankan sebarang jualan kuih Tepung Pelita Paya Jaras tahun ini.

“Kami tidak membuat sebarang jualan atas talian juga. Jadi sekiranya ada mana-mana pihak yang menggunakan nama kami Tepung Pelita Paya Jaras untuk bulan Ramadan ini yang menjual secara atas talian, itu bukan daripada kami sebab kami tiada jualan atas talian Ramadan ini. Jumpa kami di tahun depan,” jelasnya yang mempunyai lebih 100 ejen jualan pada setiap tahun.

Selain itu, dia turut mengakui keputusan yang dibuat itu mungkin menjejaskan satu-satunya pendapatan dirinya dan suami semasa bulan Ramadan.

Walau bagaimanapun, pasangan itu berpendapat bahawa keuntungan menjadi perkara kedua, manakala usaha memutuskan rantaian COVID19 adalah lebih penting.

“Yang penting semua duduk di rumah, kita jumpa tahun depan,” katanya sambil berharap tahun 2021 akan menjadi pembuka rezeki kepada para peniaga bazar Ramadan. 

Sumber: Astro Awani