Pada pagi 20 Julai lalu, negara kita digemparkan dengan mural gergasi pemimpin negara diconteng dengan kata-kata kesat termasuk potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12, Shah Alam.

Berikutan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) mengambil tindakan segera dengan memadamkan keseluruhan mural itu dengan mengecat semula.

Pada hari yang sama, satu visual menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dua wanita dipercayai menjadi dalang yang merosakkan mural barisan pemimpin negara itu tersebar di media sosial.

Terbaru, Polis Kontinjen Selangor mengesahkan tiga wanita warga tempatan dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung kes conteng mural pemimpin negara dengan kata-kata kesat pada 20 Julai lalu.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, menjelaskan bahawa ketiga-tiga wanita warga tempatan itu dibebaskan kerana tiada bukti kukuh mereka terbabit dalam kes itu.

ismaweb.net

“Tiga minggu lalu, tiga wanita yang pada mulanya kita syaki terbabit dalam kes itu, tetapi apabila diambil keterangan, polis dapati mereka mempunyai alibi kukuh bahawa mereka tidak boleh disabitkan dengan jenayah itu,” ujarnya.

“Kami masih bekerjasama dengan Bukit Aman dari segi teknikal untuk mengenal pasti mereka yang terbabit dalam kes itu, kami akan terus berusaha lagi,” jelasnya lagi.

Diharap pihak polis dapat memberkas pelaku tersebut dan dihadapkan ke muka pengadilan tidak lama lagi.

Sumber: Harian Metro