Seorang pelajar semester dua Diploma Logistik dan Rangkaian Bekalan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah(POLISAS), Kuantan, Pahang, Azib Azfar Azman, 19 tahun, memuatnaik satu tweet bergambar di laman Twitter mengenai seorang hamba Allah yang baik menolong menyimpan kunci motor miliknya di tempat selamat, baru-baru ini.

Menurut tweet tersebut, Azib meluahkan rasa syukur dan memuat naik gambar sekeping nota ditinggalkan oleh seorang individu dalam bakul motosikalnya.

“Bro, kau tinggal kunci kat motor. Aku selit kunci kau kat helmet NS88 merah. Pape roger. Nasib baik aku baik,” tulis nota tersebut.

Difahamkan, kejadian berlaku pada pagi minggu lepas di mana Azib tidak menyedari kunci motosikalnya tertinggal kerana menyangka sudah menyimpannya di dalam beg.

“Saya meletak motosikal di tempat biasa sebelum berlalu untuk masuk ke kelas tanpa mencabut kunci. Namun, saya tidak sedar mengenai perkara itu sehingga gagal menemuinya di dalam beg selepas tamat kuliah,” katanya.

“Setibanya di parkir, saya lihat motosikal masih berada di tempat asal bersama sekeping nota ditinggalkan di dalam bakul,” jelasnya.

Pada mulanya, dia tidak tahu siapakah individu terbabit kerana tiada nama atau nombor telefon disertakan dalam nota yang ditinggalkan di dalam bakul motosikalnya.

Bagaimanapun, identiti individu berkenaan sudah dikenal pasti hari ini selepas Azib memuatnaik insiden berkenaan di ruangan Instagram Story.

“Rupa-rupanya, dia adalah rakan saya, Ahmad Irfan Azman ketika tinggal di asrama dulu. Cuma, dia tidak tahu motosikal itu kepunyaan saya dan hanya membantu kerana kebetulan berada di kawasan parkir berkenaan,” tambahnya.

“Saya bersyukur kerana rakan sendiri yang menemuinya. Jika tidak, tentunya motosikal Ysuku(Yamaha Y15ZR) saya sudah hilang dibawa lari,” ujarnya.

“Saya terhutang budi dengannya dan kejadian ini memberi pengajaran kepada saya supaya tidak lagi cuai pada masa akan datang,” sambungnya.

Sumber: Harian Metro