Apabila kita bercakap tentang pulau-pulau menarik, kita mesti tahu bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang memegang reputasi sebagai syurga bagi pulau-pulau tropika disebabkan oleh kekayaannya dengan pulau-pulau yang mempesonakan jiwa bukan sahaja di sekitar Kepulauan Borneo tapi juga di kawasan Semenanjung Malaysia.

Apa yang membuatkan pulau-pulau ini lebih istimewa adalah kerana keindahannya yang cukup terjaga dan lebih privasi berbanding pulau-pulau di negara lain yang terlalu sibuk dengan kedatangan pelancong-pelancong dari seluruh pelusuk dunia. Anda tidak perlulah bersusah-payah menempah tiket penerbangan untuk ke negara lain bagi menikmati keindahan alam semula jadi kerana kita ada di negara sendiri!

Bukan itu sahaja, anda dapat menjimatkan bajet di mana wang selebihnya boleh digunakan untuk melakukan banyak aktiviti menarik yang ditawarkan di setiap pulau-pulau yang dilawati.

Berikut adalah 7 pulau yang dikatakan antara destinasi pulau yang wajib anda lawati apabila tiba musim cuti –

1. Pulau Langkawi, Kedah

Gambar: Flickr

Pulau yang menjadikan burung helang sebagai lambangnya ini merupakan sebuah destinasi percutian yang menjadi mimpi ramai penduduk dunia. Pulau Langkawi cukup kaya dengan keindahan alam semula jadi yang mandamaikan jiwa. Di sini, anda dapat bersantai di tepian pantai-pantai yang berpasir putih, menikmati keindahan air terjun, meneroka hutan hijau yang kaya dengan flora dan fauna dan banyak lagi.

Bukan itu sahaja, Pulau Langkawi juga merupakan syurga bagi sesiapa yang suka membeli-belah kerana ianya adalah sebuah pulau bebas cukai. Nak buat bisnes dekat rumah? Borong banyak-banyak barang di pulau ni. Jangan lupa untuk beli berbeg-beg coklat untuk yang tersayang!

2. Pulau Layang-Layang, Sabah

Gambar: Caridestinasi

Pulau Layang-Layang ini lokasinya jauh kerana ia terletak pada jarak 300 km dari Kota Kinabalu. Tapi jika anda tahu keistimewaan yang ditawarkannya, kata orang, gunung pun sanggup didaki. Pulau Layang-Layang ini adalah sebuah destinasi yang wajib dilawati bagi para pencinta aktiviti menyelam skuba.

Di sini terdapat dalam 14 buah kawasan menyelam untuk diterokai yang menyajikan panorama bawah air yang cukup mengujakan. Disebabkan kedudukannya yang jauh dari kawasan yang dipenuhi manusia, pulau ini cukup memukau keindahannya, alam semula jadinya terpelihara daripada sebarang pencemaran.

3. Pulau Mabul, Sabah

Gambar: Thevocket

Pulau Mabul adalah sebuah pulau kecil yang dikelilingi oleh pantai yang berpasir. Di kawasan pantai yang indah ini anda boleh bangun awal pagi dan menanti keindahan cahaya mentari yang terbit. Pada waktu malam pula, anda dapat melihat cahaya bintang yang cukup jelas memandangkan pulau ini jauh dari sebarang pencemaran cahaya atau ‘red polution’ seperti di kawasan bandar.

Pulau Mabul juga adalah salah sebuah lokasi penyelaman air cetek (muck-diving) yang terbaik. Selain lokasi menyelam, pulau ini turut terkenal kerana kedudukannya yang berhampiran dengan Pulau Sipadan. Lokasi yang patut dilawati untuk merehatkan minda anda.

4. Pulau Besar, Johor

Gambar: AMI Travel & Tours

Pulau Besar dahulunya dikenali sebagai Pulau Babi Besar. Ini kerana pulau ini dahulunya dihuni oleh babi-babi liar kini tetapi kini sudah pun hilang dan yang tinggal hanyalah ketenangan dan keindahan untuk dinikmati, sebab itulah namanya pun sudah diubah.

Pulau ini walaupun agak kecil dengan kepanjangan hanyalah dalam 4 km dan kelebaran 1 km, ia menawarkan 4 buah resort untuk dijadikan pilihan. Aktiviti yang ditawarkan di atas pulau ini juga tidak mengecewakan, anda bukan sahaja boleh bermain bola tampar pantai, tapi padang golf juga turut tersedia.

Untuk aktiviti yang sukar dilupakan di sini, anda boleh berbual dengan penduduk setempat dan belajar cara-cara untuk menangkap ikan. Dengan pengalaman yang unik ni barulah terasa ‘hidup’ percutian anda di pulau!

5. Pulau Rawa, Johor

Gambar: Azhafizah

Pulau Rawa yang terletak di negeri Johor ini sama indahnya dengan Pulau Rawa di Terengganu. Pulau ini terletak dalam 16 km dari Mersing, Johor. Kawasan di sekitarnya dikelilingi oleh lautan yang biru dan dalam. Pulaunya pula mekar dengan hutan yang mengijau untuk diterokai bagi yang suka akan aktiviti lasak.

Untuk aktiviti jungle trekking, anda boleh melalui 270 anak tangga yang disediakan untuk menuju ke puncak di bahagian timur pulau. Dari puncak ini anda dapat melihat pemandangan yang cukup mengujakan lebih-lebih lagi ketika matahari naik ataupun tenggelam.

Aktiviti lain yang terkenal di sini adalah snorkeling kerana kekayaannya dengan hidupan marin dan batuan karang yang berwarna-warni.

6. Pulau Rawa, Terengganu

Gambar: Rawaislandresort

Panorama di dalam air sekitar pulau ini cukup mempesonakan, ditambah lagi dengan kejernihan airnya yang bak kaca lutsinar memandangkan pulau ini tidak dihuni oleh sesiapa dan juga tidak memiliki sebarang tempat penginapan yang dapat mencemarkan persekitaran. Dari segi kebersihan pula, pulau ini memang tip-top!

Walau bagaimanapun, anda perlu berhati-hati sewaktu ingin meneroka kawasan sekitar perairan ini memandangkan terumbu batu karang tumbuh agak berdekatan dengan pesisir pantai.

7. Pulau Gemia, Terengganu

Lokasi Pulau Gemia ini sangatlah dekat dengan tanah semenanjung yang hanyalah 5 km atau 15 minit sahaja menaiki bot dari jeti Marang di Kuala Terengganu. Bagi anda yang ingin ke Pulau Kapas, jangan lupa untuk singgah ke pulau ini yang hanyalah 800 meter dari satu sama lain.

Pulau yang diliputi pohon-pohon yang mekar menghijau ini merupakan sebuah pulau persendirian yang juga dikenali sebagai Coral Island kerana dikelilingi oleh terumbu batu karang. Ianya agak kurang dilawati dalam kalangan pelancong tempatan walaupun keindahannya tidak kurang hebat dengan yang lain, namun agak terkenal dalam kalangan pelancong asing.

Antara aktiviti yang boleh dilakukan di sini adalah berkayak, snorkeling dan trekking. Di samping aktiviti yang memerlukan tenaga, anda juga boleh sekadar bersantai dan kalau tepat pada masanya, anda mungkin berpeluang melihat kehadiran penyu dari spesies Agar yang datang untuk bertelur di pulau ini.

Sumber: Mai Singgah Hub