Disebabkan terlalu rindukan arwah ibunya, seorang pemuda sanggup menggali semula kubur dan membawa pulang jenazah yang baru saja dikebumikan 40 hari lalu di Kabupaten Probolinggo, Jawa Timur, Indonesia.

Kejadian berlaku pada Jumaat minggu lepas apabila lelaki yang dikenali sebagai Nasir, mengusung jenazah ibunya, Sumarto, di dalam guni dan dibawa pulang ke rumahnya selama dua hari.

Menurut Kompas, pada mulanya kejadian itu tidak diketahui penduduk kampung sebelum satu rakaman video Nasir yang sedang cuba mengebumikan semula jenazah pada Ahad lalu menjadi tular.

Difahamkan, dia membawa semula jenazah ke kubur selepas dipujuk kakaknya, Sul. Menurut seorang penduduk dikenali sebagai Amin, mereka tidak menyedari kejadian itu memandangkan lokasi kubur yang terletak jauh di dalam hutan.

Jurucakap Kepolisian Sektor(Kapolsek) Pakuniran, Iptu Habi Sutoko, menjelaskan bahawa pemuda itu dipercayai mengalami tekanan jiwa selepas ibunya meninggal dunia.

Katanya, anak ketiga daripada empat beradik itu memberi alasan tindakan terbabit dilakukan kerana terlalu rindukan kehadiran ibunya.

“Dia menggali sendiri kubur pada waktu siang tanpa pengetahuan sesiapa. Kubur itu di tengah hutan dan kawasan terbabit jarang dilalui penduduk,” ujarnya.

“Kemudian dia memasukkan jenazah ke dalam guni lalu dibawa pulang ke rumah namun kakaknya, Sul mendapat tahu perkara itu dan memujuknya mengebumikan semula jenazah,” jelasnya.

Sumber: Harian Metro