Kadangkala kita tidak tahu bagaimana perjalanan hidup kita di dunia sementara ini kerana ajal dan jodoh adalah rahsia Allah SWT.

Ada yang diuji dengan kemiskinan, kekayaan, kesihatan, malah diuji dengan penyakit berbahaya. Seorang lelaki di laman Facebook berkongsi perjalanan hidup adiknya yang dipanggil Kakak apabila disahkan menghidap kanser Sacorma (sejenis kanser tisu) pada tahap ke-3.

Menurut Shukur Yusuf, keluarganya sangat terkejut apabila mengetahui adiknya, Fatin Nur Syahirah Yusuf, 24 tahun, menghidap kanser tetapi mereka sekeluarga tetap bersemangat dan positif bahawa Fatin boleh sembuh.

Tambahnya, Fatin telah menjalani dua pembedahan bagi membuang sel-sel kanser dari dalam badannya namun doktor juga menyatakan tidak dapat mengenalpasti mengapa kanser itu begitu cepat membesar.

April 2018

Kami sekeluarga bersetuju dengan saranan doktor untuk Kakak menjalani sesi radioterapi. Maka berulang-aliklah kami setiap hari membawa Kakak ke PPUM. Selesai 30 sesi pada awal Jun 2018, hasil scan terbaru yang dijalankan, doktor memaklumkan yang tumor kanser sudah mengecut. Alhamdulillah. Leganya hati kami.

Namun, tiba-tiba doktor berkata lagi dalam nada yang cukup lembut. “Tapi…., kanser tu dah merebak ke kawasan yang lain”. Saya dan kakak terbungkam! Pada ketika itulah pertama kali saya melihat Kakak menangis teresak-esak. Saya sendiri menangis sambil cuba memberikan kata-kata positif buat adikku ini. Tidak lagi peduli pandangan orang disekitar ruang menunggu PPUM. Hanya kami merasai peritnya dugaan ini. Allah…

Jun 2018

Kakak dipinang seorang anak muda yang cukup ikhlas menerima Kakak seadanya. Keluarga pihak lelaki juga banyak membantu dalam proses mencari penawar buat Kakak daripada awal hingga sekarang. Mama dan Abah sangat bersyukur disebabkan keluarga pihak lelaki yang begitu bersungguh menerima Kakak walaupun dalam keadaan Kanser sekarang sudahpun di tahap 4.

Julai 2018

Kakak lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Sekeluarga terkejut. Tidak kami sangka akan secepat ini. Kakak seperti biasa lebih banyak berdiam diri tentang sakitnya. Namun segala yang Kakak pinta, kami akan cuba usaha untuk jadikan kenyataan. Selang seminggu kemudian, kesihatan Kakak semakin merosot. Kakak mula sesak nafas. Kanser sudah menyerang paru-paru Kakak. Pihak hospital telah memberitahu tiada rawatan lagi untuk tahap ini. Yang ada hanyalah “Comfort Patient”. Fahamlah kami dengan maksud Doktor itu. Lantas Mama terus menangis. Abah cuba memendam rasa biarpun air mata sudah berlinang. Hanya Allah yang mengetahui perasaan kami…

Ogos 2018

Semangat baru buat Kakak. Azzam bersungguh untuk menerima Kakak sebagai isteri. Ikhlas hati Azzam hanya Allah yang tahu. Dalam keadaan Kakak seperti ini, tetap menerima Kakak seadanya. Keluarga Azzam juga begitu. Menyokong penuh hasrat Azzam. Telah menganggap Kakak seperti keluarga sendiri. Alhamdulillah. Allah hantarkan sebuah keluarga yang cukup bersih hatinya yang sedia menerima Kakak dan berusaha bersama-sama mencari penawar dan memberi semangat.

3 Ogos 2018

Kakak dan Azzam selamat diijabkabulkan. Tiada majlis warna warni, tiada baju pengantin menambah seri. Tiada pelamin tanda raja sehari. Yang ada hanyalah pihak keluarga perempuan, pihak keluarga lelaki, tok kadi bersama saksi. Ketika akad sedang dilafaz, esakan tangisan keluarga menjadi muzik latar, menyaksikan penyatuan dua hati murni ini. Alhamdulillah. Allah permudahkan.

Semoga atas pernikahan ini, Allah kurniakan rahmat dan keberkatan serta kebahagiaan dunia akhirat buat Kakak dan Azzam.

Namun, selepas itu Fatin dimasukkan semula ke hospital selepas solat Jumaat pada hari yang sama kerana pernafasannya semakin merosot.

Keluarga mereka berkumpul di hospital dan berada di sisi semasa Fatin menghembuskan nafas yang terakhir pada waktu Subuh 4 Ogos 2018 (Sabtu).

Semoga keluarga arwah tabah menerima dugaan ini dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman. Takziah kepada Shukur sekeluarga.

Sumber: Fb Shukur Yusuf