Beberapa hari lepas pengarah terkenal, Michael Ang, membuat pengumuman di akaun laman sosial miliknya bahawa dia telah memeluk agama Islam sejak lebih setahun lalu.

Dia mendapat hidayah melalui satu mimpi yang indah sehingga membuat keputusan untuk mendalami dan memeluk Islam.

Menurutnya, dia bermimpi masuk ke dalam Kaabah yang dipenuhi teko berwarna emas dan mengeluarkan air yang sangat wangi.

Pada mulanya, dia tidak faham apakah maksud mimpi tersebut sehinggalah dia membuat carian di Google mengenai mimpinya.

“Barulah saya tahu orang yang bawa saya masuk dalam rumah itu, dalam itu sebenarnya adalah Kaabah. Sejujurnya saya fikir Kaabah itu adalah batu yang dibalut dengan kain. Jadi bila tengok dalam Google, ianya sama dengan mimpi saya,” jelasnya.

“Saya juga bermimpi ada teko emas yang tergantung dalam Kaabah itu mengeluarkan air yang sangat wangi seperti bunga ros. Kemudian, saya juga nampak tulisan jawi pada jubin dalam Kaabah berkenaan. Sejak itu, saya mula ambil tahu mengenai Islam dan tanya sesama rakan-rakan artis,” sambungnya.

Selain itu, Michael Ang bersyukur kerana penerimaan keluarganya amat baik apabila dia mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam.

Sumber: mStar