Bagai haruan makan anak, seorang lelaki ditahan reman tujuh hari mulai semalam selepas disyaki merogol anak kandungnya yang baru saja habis berpantang selepas melahirkan anak pertamanya di rumah mereka di Utan Aji, Kangar, Perlis.

Berikutan itu, Majistret Kamaliza Md Zain, membenarkan permohonan berkenaan selepas suspek ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan.

Polis memberkas suspek berusia 54 tahun itu di tapak tempat letak kereta Hospital Tuanku Fauziah(HTF), kelmarin.

Difahamkan, suspek juga mengugut mahu mencederakan bayi anak perempuannya yang berusia 20 tahun itu jika permintaannya tidak dipenuhi.

Disebabkan itu, dia yang bimbang dengan ugutan tersebut terpaksa merelakan tindakan bapanya selain suami mangsa tiada di rumah mereka.

Walau bagaimanapun, mangsa bertindak membuat laporan polis kerana tidak tahan dengan perbuatan bapanya yang memaksa dia melakukan amang seksual.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, mengesahkan kejadian berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

Sumber: Harian Metro