Individu beragama Islam yang dikesan sengaja meninggalkan solat fardu di Terengganu boleh dihukum denda RM5,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, memberitahu bahawa sesiapa yang tiada alasan munasabah meninggalkan solat fardu boleh didakwa di bawah Seksyen 18, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana kesalahan tidak menunaikan sembahyang fardu.

Menurutnya, tindakan yang dikenakan terhadap umat Islam di negeri tersebut adalah satu pelaksanaan yang relevan, malah masyarakat perlu tahu itu bukan bertujuan menghukum tetapi sebagai pengajaran bagi mendidik umat Islam mematuhi perintah ALLAH menerusi pelaksanaan undang-undang.

“Tindakan itu juga, secara tidak langsung menunjukkan kasih sayang pemimpin yang bertanggungjawab untuk mengelakkan umat Islam daripada terus melakukan dosa dan maksiat,” sambungnya.

“Bagi pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu(JHEAT) pula, peringatan menerusi pelbagai medium termasuk bertulis, secara lisan melalui ceramah selain turun padang mendekati masyarakat terutama golongan remaja hari ini bagi memberi kesedaran dan mengingatkan kepada mereka tentang pentingnya menjaga solat fardu,” jelasnya.

Sumber: Sinar Harian