Operasi medan selera dan pasar malam di Terengganu akan dihentikan 15 minit semasa solat Maghrib secara berperingkat mulai tahun depan, menurut seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Terengganu, Mohd Nurkhuzaini A Rahman, memberitahu bahawa cadangan tersebut hanya akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah medan selera atau pasar malam mempunyai kemudahan tertentu seperti surau, tandas dan tempat mengambil wuduk.

Gambar sekadar hiasan

“Ini memerlukan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) untuk melengkapkan kemudahan itu di lokasi tersebut,” katanya.

“Setakat ini, medan selera di Jerteh dekat Besut telah pun melaksanakan kempen itu bermula 15 Syawal lalu,” tambahnya.

Gambar sekadar hiasan

Menurutnya, peniaga hanya perlu menutup kedai mereka selama 15 minit sahaja dan maklum balas daripada peniaga medan selera berkenaan adalah positif manakala pelanggan juga memahami dan menghormati waktu solat tersebut.

Pada mulanya, terdapat bantahan daripada peniaga memandangkan tempoh itu adalah antara waktu puncak, namun mereka akur perniagaan yang berkat adalah yang patuh syariah dan mengutamakan kewajipan diperintahkan Allah.

“Kita juga akan ada satu mesyuarat bersama penjaja kecil dalam masa terdekat yang antara lainnya membincangkan mengenai kempen ini agar mereka juga melaksanakannya di tempat masing-masing,” ujarnya.

Sumber: Astro Awani