Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tarikh melihat anak bulan Syawal akan diadakan pada petang Jumaat minggu depan iaitu 22 Mei bersamaan 29 Ramadan 1441 Hijrah di 15 lokasi terpilih seluruh negara.

Difahamkan, Majlis Raja-Raja turut bersetuju bahawa cara menetapkan tarikh Hari Raya Puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab dengan tarikh sambutan akan diisytiharkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu juga melalui radio dan televisyen.

Untuk pengetahuan anda, sebanyak 15 lokasi dikenalpasti untuk melihat anak bulan Syawal ketika Perintah Kawalan Pergerakan iaitu di Pontian Kecil, Johor, Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara, Melaka, Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam, Selangor, Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru, Daerah Manjong, Perak serta Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh, Pulau Pinang.

Selain itu, lokasi lain yang turut terpilih ialah Menara Alor Setar, Alor Setar, Kedah, Balai Besar, Kuala Terengganu, Terengganu, Menara Bangunan SEDC, Jalan Tengku Putra Semerak, Kota Bharu, Kelantan, Teluk Bandung, Kuching, Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil, Putatan, Sabah, Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang, Tingkat 13, Menara Universiti Malaysia Sabah, Kampus Antarabangsa, Labuan, Menara Kuala Lumpur, Kuala Lumpur dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.

Sumber: Bernama & Harian Metro