Kesukaan dan sifat minat memasak yang dimiliki oleh Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah telah membawanya mengembara hampir setahun ke seluruh ceruk desa dan daerah di Pahang untuk melengkapkan pencarian kira-kira 600 resepi manisan tradisional Pahang.

Baginda mengembara merentasi 11 daerah di Pahang dengan tujuan untuk mengumpul resepi warisan negeri itu, sekali gus sebagai kesinambungan koleksi Air Tangan Tengku Puan Pahang Buku Masakan Tradisional Pahang yang diterbitkan pada 2007.

Baginda bertitah, kompilasi buku manisan itu cukup istimewa kerana memuatkan resepi yang jarang dinikmati berikutan juadah asli air tangan orang lama termasuk wanita perkampungan Orang Asli.

“Saya sendiri meredah hutan belantara mempelajari manisan dan memasak di depan mereka menggabungkan ramuan asli tanpa menggunakan masakan daripada bahan import yang sinonim dalam pembuatan kuih-muih hari ini” titah baginda.

Buku ini sebagai kenangan kasih Baginda kepada Ayahandanya, Almarhum Sultan Iskandar kerana titahnya “Almarhum Ayahanda mahu saya mahir serba-serbi, sempurna sebagai fitrah wanita atau setidak-tidaknya mampu memperbetulkan kelemahan cara masakan tukang masak istana.”

Sumber: Berita Harian