Istiadat khas pemasyhuran Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang bakal diadakan di Istana Abu Bakar, Pekan, Pahang, pada Selasa minggu depan yang bertarikh 29 Januari.

Difahamkan, pemasyhuran itu dilakukan selepas mendapat perkenan Sultan Pahang VI, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Di samping itu, Sultan Pahang VI turut berkenan melantik putera sulungnya, Tengku Panglima Besar, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah sebagai Tengku Mahkota Pahang.

“Hari ini (semalam) saya memaklumkan kepada Jumaah Pangkuan Diraja Negeri Pahang mengenai persetujuan melantik Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai Tengku Ampuan Pahang,” titah baginda.

astroawani.com

Difahamkan, Tengku Hassanal kembali ke tanah air pada 28 Januari ini (Isnin) untuk mengikuti istiadat pemasyhuran dan kemudian akan berlepas ke Sandhurst, United Kingdom (UK) untuk kembali mengikuti pengajian di Akademi Ketenteraan Diraja di sana.

Al-Sultan Abdullah bertitah gelaran Tengku Ampuan Pahang dan Tengku Mahkota Pahang tersebut digunakan selepas istiadat pemasyhuran dijalankan.

Sumber: Harian Metro