Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Dr Muhammad Faiz Petra Ibni Sultan Ismail Petra , 45, bakal mengakhiri zaman bujangnya dengan pasangannya, warga negara Sweden, Cik Sofie Louise Johansson, 33. Menurutnya, pasangan Baginda merupakan kenalan baginda sewaktu belajar di luar negara dan perkenalan mereka sudah lama terjalin.

Menurut Ketua Istiadat Istana Kelantan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal majlis perkahwinan diraja itu bakal dilangsungkan di Istana Balai Besar pada 19 April depan.

Walau bagaimanapun, dimaklumkan bahawa majlis tersebut akan diadakan secara sederhana dan kecil-kecilan dengan hanya menjemput kerabat terdekat serta kenalan Baginda sahaja.

“Yang Teramat Mulia Tuanku turut bertitah agar cenderamata-cenderamata bersempena istiadat perkahwinan baginda disumbangkan kepada badan-badan kebajikan di negeri Kelantan seperti Yayasan Orang Kurang Upaya (YOKUK), rumah anak-anak yatim dan orang tua serta Persatuan Bulan Sabit Merah.

“Yang Teramat Mulia Tuanku berharap agar sekelian rakyat dapat mendoakan perkahwinan baginda kelak akan dipermudahkan dan dirahmati Allah SWT sehingga ke jannah,” katanya pada sidang media di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Oleh yang demikian, Majlis Pernikahan Diraja kali ini dibuat secara tertutup dengan jangkaan jemputan tetamu sekitar 300 orang sahaja. Majlis akad nikah pasangan berkenaan pula akan dilangsungkan di Istana Balai Besar disusuli majlis persandingan yang turut diadakan di tempat yang sama.

Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamed dijangka akan menyempurnakan majlis akad nikah pada malam 19 April nanti.

Sumber: Awani