Sepasang kekasih yang ingin menggembara keliling dunia bertukar tragedi apabila mereka maut ketika sedang berswafoto. Menurut laporan news.sky, mayat pasangan dari India, Vishnu Viswanath, 29, dan Meenakshi Moorthy, 30 ditemui anggota renjer hutan di Taman Nasional Yosemite, Amerika Syarikat.

Pasangan itu dilaporkan terjatuh dari ketinggian 245 meter di bawah Taft Point, di mana pelawat dibenarkan berjalan ke tepi cenuram yang tidak berpagar dan menjadi lokasi untuk berselfie.

Menurut abang kepada Vishnu, Jishnu Viswanath, pasangan malang terbabit dikatakan memasang tripod berhampiran kawasan tebing yang curam berhampiran pergunungan Sierra Nevada, California pada petang Selasa.

Pengunjung menjumpai sebuah kamera pada keesokan paginya dan mereka memaklumkan kepada renjer hutan. Pasangan mayat itu dijumpai pada Khamis kira-kira 800 meter di bawah Taft Point. Jamie Richards, jurucakap Yosemite berkata dia tidak tahu bagaimana renjer tersebut menjumpai mayat pasangan itu kerana operasi mencari dan menyelamat amat mencabar.

Moorthy bercita-cita untuk menjadi seorang blogger pengembaraan pernah menulis percubaan selfie berani mati di Instagramnya.

Sumber: Sinar Online