Sebelum ini, Kementerian Kesihatan telah memberi tempoh enam bulan kepada golongan perokok untuk penguatkuasaan pendidikan larangan merokok di kedai makan dan restoran sehingga bulan Julai ini.

Namun, tempoh mendidik orang ramai mengenai tempat makan sebagai kawasan larangan merokok itu akan dilanjutkan sehingga akhir Disember ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menjelaskan bahawa ia bagi memberikan peluang secukupnya kepada perokok untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran mengenai bahaya kesan merokok serta kawasan larangan merokok.

“Kementerian Pendidikan berpendapat impak kepada penguatkuasaan pendidikan dijalankan memberi kesan sangat positif. Bagaimanapun, Kementerian Pendidikan juga maklum terdapat perokok masih merokok di tempat makan diwartakan sebagai kawasan larangan merokok dan perokok yang belum mahu berhenti merokok,” jelasnya.

Gambar sekadar hiasan

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata selepas tempoh yang diberikan itu tamat, kementerian akan meningkatkan penguatkuasaan termasuk mengeluarkan saman kepada perokok yang masih berdegil.

Difahamkan, penangguhan itu dibuat bagi meningkatkan usaha kerajaan untuk membantu perokok berhenti merokok kerana memahami kesukaran perokok menghentikan tabiat ini.

“Kementerian Kesihatan berharap sokongan dan kerjasama daripada semua pihak dalam memastikan kepatuhan kepada kawasan larangan merokok sebagaimana terdapat di bawah Peraturan 11, Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan rakyat keseluruhannya,” katanya.

Sumber: Harian Metro