Serangan yang berlaku di dua buah masjid semasa solat Jumaat di Christchurch, New Zealand, mengorbankan seramai 49 jemaah dan lebih 20 orang cedera.

Difahamkan, seorang lelaki warga Australia yang dikenali sebagai Brenton Tarrant, 28 tahun, menyiarkan serangan itu secara langsung di media sosial.

Penyerang yang menggunakan senjata raifal automatik itu menyerbu dua buah masjid dan melepaskan tembakan secara rambang semasa jemaah sedang solat.

Seorang rakyat Malaysia disahkan cedera dalam kejadian tersebut dan mangsa sedang menerima rawatan di hospital, menurut kenyataan di akaun rasmi Twitter Pesuruhjaya Tinggi Malaysia.

”Seperti dilaporkan, ada kejadian tembakan di masjid Christchurch jam 1.40 pm hari ini (waktu tempatan). Justeru, Pesuruhjaya Tinggi berhubung rapat dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan maklumat selanjutnya berhubung mangsa terbabit,” jelasnya.

Kini, bandar tersebut telah dikepung oleh pihak berkuasa namun terdapat laporan mengatakan serangan ketiga berlaku di sebuah masjid dan serangan bom kereta di Strickland St.

Pihak polis menyatakan mereka telah menangkap empat orang yang disyaki terlibat dalam serangan tembakan rambang berkenaan.

Menurut seorang lelaki Palestin, dia terdengar bunyi letupan sebelum seorang jemaah di sebelahnya rebah kerana ditembak di kepala.

“Saya terdengar tiga bunyi tembakan dan selepas 10 saat bunyi itu kedengaran semula. Semua jemaah bertempiaran melarikan diri dan ada yang berlumuran darah,” katanya yang solat di Masjid al Noor pada ketika itu.

Selain itu, seorang saksi yang solat di Masjid Deans Ave sempat melarikan diri namun isterinya terbaring di lantai akibat ditembak.

“Saya terus melarikan diri dan ketika menuju ke pintu keluar saya melihat mayat isteri saya terbaring di lantai. Saya juga melihat kanak-kanak ditembak. Mayat mereka bergelimpangan di mana-mana,” jelasnya.

Rakyat Malaysia diminta memeriksa ahli keluarga yang berada di kawasan terbabit serta rakan-rakan jika ada yang tercedera atau berada di tempat kejadian.

Anda boleh menghubungi talian +64-210440188 atau +64220662118 atau e-mel menerusi [email protected]

Diharap rakyat Malaysia yang berada di sana berada dalam keadaan selamat dan sentiasa berada di dalam rumah selain mematuhi arahan daripada pihak berkuasa.

Sumber: Harian Metro