Seorang lelaki sanggup menembak isterinya sendiri hingga mati hanya kerana tidak dapat makan kari pada Khamis minggu lepas di kampung Devdas di daerah Shahjahanpur, Uttar Pradesh.

Difahamkan, lelaki tersebut dikenali Navneet Shukla pulang ke rumah dalam keadaan mabuk sebelum meminta isterinya, Mangesh, memasak kari telur untuknya.

Gambar sekadar hiasan

Kemudian, mereka bertengkar selepas isterinya enggan memasak kari telur dan Shukla menembak isterinya menggunakan pistol berlesen bapanya.

Penduduk kampung segera ke rumah mereka dan mendapati Mangesh terbaring berlumuran darah dan dia dibawa ke hospital berdekatan tetapi sudah terlambat.

Shukla melarikan diri dari tempat kejadian selepas itu, tetapi berjaya ditangkap oleh pihak berkuasa pada keesokan harinya dan didakwa di bawah seksyen 302 (pembunuhan) Kanun Keseksaan India.

“Mangesh berkahwin dengan Shukla hampir 12 tahun yang lalu dan pasangan itu mempunyai tiga anak. Shukla adalah seorang petani dan mempunyai beberapa ekar tanah di kampung itu, dia tinggal di rumah yang sama dengan ibu bapanya,” ujar pegawai balai polis Roza, Jasveer Singh kepada The Times of India.

Sumber: mStar