Terbaru, pemilik taska dibenar membuat permohonan untuk beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat(PKPB) berlangsung dengan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) negeri masing-masing.

Menterinya Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat(KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun, menyatakan bahawa pihaknya sudah membentangkan prosedur operasi standard(SOP) mengenai operasi taska sepanjang PKPB dan diluluskan Kementerian Kesihatan serta Majlis Keselamatan Negara(MKN).

Menurutnya, kebenaran operasi taska itu juga akan diumumkan Menteri Kanan(Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, tidak lama lag.

“Justeru itu pemilik taska nanti boleh memohon dan sebaik diluluskan, ibu bapa boleh menghantar anak mereka mengikut SOP,” ujarnya.

“SOP dikeluarkan kementerian untuk diguna pakai di semua taska di seluruh negara dan pemilik perlu memohon kebenaran terlebih dahulu daripada JKM negeri,” jelasnya.

Berdasarkan SOP terbaru itu, ibu bapa diberi waktu tertentu untuk menghantar anak mereka bagi mengelak kesesakan di taska manakala guru taska pula diwajibkan memantau lebih ketat kanak-kanak di bawah jagaan mereka supaya tiada risiko penularan wabak.

Tambahnya, kerajaan mengambil kira aduan ibu bapa yang perlu bekerja dan memastikan ekonomi bergerak sepanjang PKPB sebelum meluluskan pembukaan semula itu.

Malah, dia juga menggalakkan pihak swasta mewujudkan sistem penggiliran tugas dalam kakitangan yang berkeluarga, supaya mereka dapat menjaga anak secara bergilir jika kedua-duanya bekerja.

Sumber: Harian Metro