Ketua jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, 50 tahun, berhajat untuk mengulangi saat manis negara apabila berjaya merangkul trofi Piala AFF Suzuki 2010 sempena aksi perlawanan akhir pada tahun ini. Lapan tahun lalu, dia bertanggungjawab sebagai penolong ketua jurulatih bagi skuad kebangsaan.

ohbulan.com

Dia yakin barisan pemain yang diturunkan nanti mampu memberi kejayaan kepada negara. Biarpun sedar dengan kekuatan pihak lawan Vitenam, tetapi semangat bermain di tempat sendiri merupakan kelebihan kepada pasukan Harimau Malaya.

“Aura final pastinya berbeza dan cabaran ini dianggap motivasi kepada semua pemain. Tidak lupa juga sokongan ribuan peminat yang hadir akan membuatkan perlawanan lebih berbeza,” jelasnya.

Menurut ketua jurulatih kelahiran Kedah itu, kesilapan yang dilakukan pemain semasa saingan kumpulan sebelum ini yang menyaksikan pasukan negara tewas 2-0 kepada Vietnam membuatkan mereka lebih berhati-hati.

“Sejak tahun lalu kita dapat lihat pasukan Vietnam bermain sangat baik. Kita sedar bukan mudah untuk mendapatkan gol kerana tahu barisan pertahanan mereka sangat tersusun,” katanya.

“Pemain-pemain kita juga perlu berhati-hati kerana mereka juga sangat pantas. Apa yang penting sekarang kita perlukan gol, baharulah boleh menang. Jadi kita akan teruskan cara kita dan ambil kesempatan bermain di tempat sendiri,” tambahnya.

“Kita akan terus pantau dua pemain, Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Syazwan Andik yang masih belum dapat menyertai latihan. Yang penting siapa sahaja yang diturunkan esok akan dapat memberi semangat yang sama,” sambungnya.

Malaysia bakal menentang Vietnam pada perlawanan akhir pertama di Stadium Bukit Jalil pada malam ini manakala aksi kedua di Hanoi, Sabtu ini.

ohbulan.com

Untuk rekod, Malaysia layak ke final buat kali keempat sejak kejohanan dwi tahun ini berlangsung pada 1996, dan merupakan perebutan trofi kali kedua setelah muncul juara pada tahun 2010.

Sumber: mStar